[ Kemurahan Kerajaan PR di Selangor ]

Bersama kita perhati dan teliti:

1• 20 meter padu pertama air percuma kepada rakyat yang memiliki meter individu dan kupon bekalan air percuma. Dasar memberi bekalan air kegunaan percuma bagi 20 meter padu pertama kepada pengguna domestik yang bermeter individu setiap bulan yang telah dilaksanakan bermula 1 Jun 2008. Program ini adalah bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan rakyat Selangor. Dianggarkan seramai 1.5 juta pengguna meter individu penduduk di Selangor telah menikmati kemudahan ini dan secara tidak langsung program ini telah meringankan beban rakyat terutama dalam situasi ekonomi merosot ini. Atas istilah keramat "Merakyatkan Ekonomi" negeri Selangor berjaya melakukan perkara yang dikatakan oleh pihak-pihak tertentu sebagai mustahil. Kerajaan negeri melalui anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bertindak mengagihkan semula keuntungan pihak-pihak yang terlibat dalam perkhidmatan air ini kepada rakyat.

Klik untuk maklumat lanjut

2• Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS)- skim pelaburan untuk anak yang baru lahir.TAWAS diwujudkan dengan tujuan untuk membuka tabung permulaan RM 100 bagi setiap anak kelahiran Selangor. Faedah yang akan diterima adalah seperti berikut:

a. Di awal pelaburan, setiap Ahli TAWAS akan menerima RM 100.
b. Pada usia 18 tahun, anak-anak ini berpeluang untuk menerima sebanyak RM 1,500 hasil pelaburan di dalam skim ini.


Klik untuk maklumat lanjut

3• Skim Mesra Usia Emas (SMUE), merupakan satu skim khairat kematian yang diwujudkan khusus untuk menjaga kebajikan rakyat Selangor.Bertujuan membantu keluarga warga emas / OKU yang memenuhi syarat dan berdaftar yang meninggal dunia tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi, dan kedudukan sosial mereka.Borang dan pendaftaran adalahPERCUMA.

Sila klik untuk maklumat lanjut

4• One Stop Crisis Centre’ (OSCC) atau lebih dikenali sebagai Pusat Khidmat Krisis Sehenti telah ditubuhkan pada tahun 1997 di hospital-hospital kerajaan di seluruh Malaysia. Tujuan OSCC ditubuhkan adalah untuk memberi perkhidmatan menyeluruh kepada mangsa-mangsa penderaan, perkosaan dan juga keganasan rumahtangga. Pusat ini ditubuhkan khas untuk merawat dan mengasingkan mangsa-mangsa serta diberi bantuan dari segi sokongan emosi dan kaunseling agar mereka tidak mengalami tekanan perasaan atau emosi. Operasi OSCC terletak di bawah Jabatan Kecemasan di setiap hospital di mana terdapat kakitangan yang terlatih ditugaskan untuk merawat serta memberi penjagaan yang sewajarnya kepada mangsa-mangsa yang datang untuk mendapatkan rawatan.

Walaubagaimanapun, masih terdapat ramai orang awam yang tidak mengetahui kewujudan pusat ini dalam meberi perkhidmatan kepada orang ramai. Justeru, dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) fasa 1, terdapat program OSCC dimana kempen kesedaran akan dilaksanakan dalam bentuk jaringan dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Kempen ini untuk memberi kesedaran tentang keganasan rumahtangga, memberi maklumat berkaitan undang-undang keluarga dan menghebahkan maklumat mengenai OSCC ini kepada orang ramai. Program ini akan dijalankan mengikut peringkat DUN Negeri Selangor Darul Ehsan.
Memberikan kesedaran mengenai kewujudan dan peranan OSCC dalam menolong wanita yang menjadi mangsa keganasan.
  • Memupuk kesedaran wanita untuk memperkasa minda merdeka dan menggilap jatidiri wanita bermaruah.
  • Memberi maklumat dan kefahaman yang sahih mengenai isu isu keganasan rumahtangga dan gangguan seksual ditempat kerja.
  • Memberi pendedahan dan kefahaman undang-undang yang melindungi wanita.
Klik untuk maklumat lanjut

5• Hadian Anak Masuk Universiti – Dasar memberi hadiah RM1,000 akan diberikan kepada anak selangor yang melanjutkan pengajian tinggi awam/swasta yang diiktiraf kerajaan dengan mengikuti pengajian peringkat diploma atau ijazah sarjana muda dari keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah. Hadiah ini akan terus dikreaditkan kedalam akaun pelajar ataupun melalui cek.

Semua rekod pembayaran akan dimasukkan di dalam sistem pangkalan data yang akan dibangunkan oleh urus setia dan bayaran akan dibuat dalam tempoh dua (2) minggu (10 hari bekerja) selepas borang hadiah pengajian IPTA/IPTS yang lengkap diterima oleh pihak urus setia. Sehingga kini seramai 6,014 orang pelajar telah layak menerima hadiah ini sepanjang tahun 2009, kerajaan negeri terus prihatin dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM 8.2 juta bagi meneruskan program ini.


Klik untuk maklumat lanjut

6• Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang. Pembelaan kerajaan negeri Selangor adalah melibatkan seluruh rakyat negeri Selangor termasuklah anak-anak pekerja ladang. Tabung ini diwujudkan adalah bagi memberi bantuan pendidikan kepada anak-anak pekerja ladang. Bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk biasiswa kepada anak-anak pekerja ladang bagi tujuan membiayai pendidikan mereka. Selain itu, tabung ini juga akan membiayai pembinaan dan penyelanggaraan asrama bagi anak-anak pekerja ladang di seluruh negeri Selangor. Kerajaan yang amat prihatin dengan pendidikan anak-anak pekerja ladang telah memperuntukan RM2 juta dalam merealisasikan program ini.

Klik untuk maklumat lanjut

7• Program Peningkatan Hasil Bahan Mineral & Galian - mengagihkan 10 peratus hasil keuntungan perlombongan pasir daripada Kumpulan Semesta Sdn.Bhd (KSSB) kepda seluruh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh Selangor

Klik untuk maklumat lanjut

Link berkaitan
Merakyatkan Ekonomi Selangor(MES)

[ Kenyataan Media Tok Guru Nik Aziz ]

Saya gembira apabila Tun Dr. Mahathir memberikan ulasan berkenaan pandangan saya tentang nasionalisme. Bagi saya, ini membuktikan kesediaan beliau untuk mendengar pandangan dan berhujah. Ia baik untuk percambahan minda masyarakat agar masyarakat segar dengan hujah dan tidak bergantung kepada seringgit dua habuan menjelang pilihanraya semata-mata.

Jawapan saya ini bukan hanya untuk Tun Dr. Mahathir sahaja, tetapi juga merupakan jawapan yang saya cadangkan untuk dijawab pada hari di mana saya, Tun Mahathir dan manusia keseluruhannya berdiri di hadapan Allah SWT satu masa nanti. Ini kerana saya beriman dengan hakikat bahawa setiap apa yang dipertuturkan di dunia ini akan diadili di akhirat nanti. Setiap kenyataan yang keluar melalui televisyen, akhbar bahkan blog sekalipun direkod oleh malaikat-malaikat yang ditugaskan oleh Allah SWT untuk dibentangkan di hari yang kita tidak lagi mempunyai kuasa ke atasnya. Firman Allah SWT :

يَوْمَ تَشْهَدُ عَلَيْهِمْ أَلْسِنَتُهُمْ وَأَيْدِيهِمْ وَأَرْجُلُهُم بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Yang bermaksud : Pada hari (ketika), lidah, tangan dan kaki mereka menjadi saksi atas mereka terhadap apa yang dahulu mereka kerjakan. – Surah al-Nur, ayat 24

Hakikatnya saya sebenarnya diajak untuk menari dengan irama yang gendangnya dipalu oleh UMNO. Saya diajak untuk turut sama mengutuk Lee Kuan Yew seperti pimpinan UMNO. Padahal, apa yang berlaku di seberang sini jauh lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Lee Kuan Yew.

Pertama saya ingin nyatakan kepada Tun Mahathir bahawa asas Islam tidak sama dengan nasionalisme. Di dalam ajaran nasionalisme, tidak pernah dinyatakan apakah tujuan hidup ini. Tidak pernah saya terdengar sepatah kata dari pimpinan UMNO yang menghuraikan berkenaan tujuan hidup seorang manusia di muka bumi. Jikapun ada, hanya sebaris dua dari menteri yang dimanahkan menjaga hal ehwal agama. Adapun pemimpin utama UMNO, tujuan hidup ini seolah-olah tidak menjadi agenda penting sehingga tidak pernah sedikitpun terkeluar isu ini dari bibir mereka.

Islam meletakkan bahawa tujuan hidup untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Justeru, manusia dihidupkan untuk diuji oleh Allah SWT siapakah di kalangan mereka yang terbaik amalannya. Firman Allah SWT :

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ

Yang bermaksud : Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amal dan aktivitinya ; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) (Surah al-Mulk, ayat 2)

Apabila tujuan hidup untuk mengabdi kepada Allah SWT, dan hidup sendiri merupakan ujian untuk menguji siapakah yang beramal soleh, justeru manusia perlu bersyahadah dengan maksud sanggup menjadi saksi untuk menyatakan ketuhanan Allah SWT dan kenabian Nabi Muhammad SAW. Jika syahadah manusia pada lafaznya, maka syahadahnya pertubuhan ialah pada dasarnya. Ingin saya bertanya kepada Tun Mahathir, apakah dasar perjuangan UMNO? Di celah manakah UMNO meletakkan Islam setelah dasar kebangsaan dijadikan sebagai dasar perjuangannya? Dari sudut praktikalnya, adakah perjuangan UMNO merupakan satu amal soleh? Adakah pada saat UMNO yang menjadi tulang belakang kerajaan mengeluarkan lesen judi itu merupakan amal soleh? Adakah pada saat UMNO menghapuskan tulisan jawi pada tahun 1968 sehingga melahirkan generasi yang buta al-Quran itu merupakan amal soleh? Adakah pada waktu Tun Mahathir menarik balik peruntukan perkapita untuk sekolah agama rakyat itu merupakan amalan soleh?

Kedua, Tun Mahathir melabelkan saya dan PAS sendiri sebagai punca pecah belah orang Melayu. Barangkali kerana sayalah yang menyebabkan parti UMNO diharamkan pada tahun 1987 yang membawa kepada penubuhan Semangat 46. Barangkali sayalah juga penyebabnya sehingga terpecat Timbalan Presiden UMNO pada tahun 1999 yang membawa kepada penubuhan parti Keadilan dan kini dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat. Saya bimbang, Tun Mahathir sudah dijangkiti penyakit Melayu Mudah Lupa yang pernah disebutnya satu ketika dahulu.

Suka saya jelaskan. Islam meletakkan bahawa pecah belah ialah satu perkara yang pasti berlaku di kalangan masyarakat manusia. Allah SWT berfirman :

وَقُلْنَا اهْبِطُوا بَعْضُكُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ وَلَكُمْ فِي الأَرْضِ مُسْتَقَرٌّ وَمَتَاعٌ إِلَى حِينٍ

Yang bermaksud : “..dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". – (Surah al-Baqarah, ayat 36)

Perpecahan telah digazetkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran lama sebelum PAS ditubuhkan lagi. Ia berlaku apabila ada yang memilih hidayah dan ada yang menolaknya. Nabi Muhammad SAW datang membawa hidayah daripada Allah SWT dan ditolak oleh kaum yang sebangsa dengannya. Utbah bin Rabiah yang mewakili gerakan nasionalis Quraisy pada zamannya, bangkit dengan tegar melabelkan bahawa Nabi Muhammad SAW sebagai pemecah belah dengan kata-katanya :

فرقت به جماعتهم!

Yang bermaksud : Dengan agama yang kamu bawa, kamu telah memecahbelahkan kesatuan mereka!

Adakah benar baginda merupakan pemecah belah? Tentu sekali tidak, tetapi itulah natijahnya apabila membawa kebenaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

Dari zahirnya kelihatan Tun Mahathir sebagai seorang yang sangat cintakan perpaduan Melayu. Sedarkah Tun Mahathir bahawa UMNOlah selama ini yang menzalimi orang-orang Melayu? Pada tahun 1961, siapakah yang menculik ADUN-ADUN PAS di Terengganu yang menyebabkan akhirnya kerajaan PAS pimpinan Allahyarham Daud Samad digulingkan dari pintu belakang? Di Kelantan, mereka juga menculik lima wakil rakyat PAS dengan tujuan menggulingkan kerajaan yang dipimpinan oleh Allahyarham Dato Asri Muda namun usaha mereka gagal. Ini boleh disahkan oleh bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur yang masih hidup sekarang ini, Che Omar Mohamad yang turut menjadi mangsa. Siapakah yang bertanggungjawab melakukan perbuatan tidak demokratik ini kalau bukan UMNO? Episod-episod kezaliman ini masih segar di ingatan pejuang-pejuang PAS. Bukan untuk menyemarak api permusuhan lama jauh sekali menyimpan dendam, tetapi sekadar untuk memperkukuhkan fakta sejarah buat generasi muda yang saya bimbang terbuai dengan dodoi Ketuanan Melayu yang ditaja oleh UMNO.

Di zaman Tun Mahathir, siapakah yang bertanggungjawab melakukan persempadanan pilihanraya pada tahun 2003 yang menafikan pertambahan kerusi parlimen dari negeri yang majoritinya orang Melayu kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai Ibrahim Libya di Memali bersama pengikut-pengikutnya yang kesemuanya terdiri daripada orang Melayu tanpa sebarang sebab yang munasabah kalau bukan UMNO di zaman Tun Mahathir? Siapakah yang memperkenalkan pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris yang kemudiannya ditolak sendiri oleh UMNO kalau bukan Tun Mahathir?

Hari ini, UMNO masih lagi menjuarai amalan tidak demokratik. Di Perak, mereka gulingkan kerajaan dari pintu belakang. Di Selangor, mereka melantik Setiausaha Kerajaan tanpa sedikitpun perbincangan dengan Menteri Besar. Peliknya, juara Ketuanan Melayu inilah pula yang menentang usul mengembalikan kuasa sultan di Selangor. Tidak malukah mereka kepada DAP yang mereka dakwa sebagai parti cauvinis Cina? Di Kelantan, mereka nafikan royalti minyak serta menubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). Jika begini, demokrasi pun tidak, federalism pun tidak, Islam jauh sekali!

Apa yang lebih penting, Islam tidak akan sempurna tanpa iman. Al-Quran sering menyebut Wahai orang-orang yang beriman tetapi al-Quran tidak menyebut Wahai orang-orang Islam. Ini kerana seorang yang mengerjakan rukun Islam sahaja belum layak dipanggil orang yang beriman jika hatinya tidak beriman dengan yakin kepada Allah SWT. Jika Tun Mahathir berkata bukti UMNO berjasa kepada Islam dengan membina masjid, maka Abdullah bin Ubay di zaman Rasulullah SAW lebih dahulu membina masjid yang dikenali sebagai Masjid Dhirar. Jika Tun Mahathir menyatakan bahawa UMNO berjasa kepada Islam dengan membina sekolah agama, maka di Thailand juga wujud sekolah-sekolah agama. Bahkan jika Tun Mahathir berkata bahawa jasa UMNO ialah arak tidak dihidangkan di majlis rasmi kerajaan, maka apakah bezanya jika arak tetap diberikan lesen secara besar-besaran dan judi pula terus dinikmati sekalipun bertentangan dengan nilai-nilai Islam dan kemanusiaan. Pertanyaan saya pula kepada Tun Mahathir, sebutkan apakah yang saya lakukan di Kelantan yang bertentangan dengan Islam. Jika tidak ada, maka untuk apa kami dilawan?

Akhir kata, saya akui Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam. Nasihat saya kepada Tun Mahathir, sebelum terlambat marilah sama-sama berfikir untuk menempuhi hari pengadilan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Jika saya ditanya adakah saya telah mengajak Tun Mahathir dan rakan-rakan sealiran dengannya agar meninggalkan aliran nasionalis sekular dan menerima Islam yang syumul, saya Insya-Allah akan menjawab : اللهم قد بلغت (Ya Allah, aku telah menyampaikan..)

Sekian.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Kg. Pulau Melaka, Kota Bharu.
Bertarikh : 29 Safar 1432H / 2 Februari 2011