[ Kemurahan Kerajaan PR di Selangor ]

Bersama kita perhati dan teliti:

1• 20 meter padu pertama air percuma kepada rakyat yang memiliki meter individu dan kupon bekalan air percuma. Dasar memberi bekalan air kegunaan percuma bagi 20 meter padu pertama kepada pengguna domestik yang bermeter individu setiap bulan yang telah dilaksanakan bermula 1 Jun 2008. Program ini adalah bertujuan membantu mengurangkan beban kewangan rakyat Selangor. Dianggarkan seramai 1.5 juta pengguna meter individu penduduk di Selangor telah menikmati kemudahan ini dan secara tidak langsung program ini telah meringankan beban rakyat terutama dalam situasi ekonomi merosot ini. Atas istilah keramat "Merakyatkan Ekonomi" negeri Selangor berjaya melakukan perkara yang dikatakan oleh pihak-pihak tertentu sebagai mustahil. Kerajaan negeri melalui anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) bertindak mengagihkan semula keuntungan pihak-pihak yang terlibat dalam perkhidmatan air ini kepada rakyat.

Klik untuk maklumat lanjut

2• Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS)- skim pelaburan untuk anak yang baru lahir.TAWAS diwujudkan dengan tujuan untuk membuka tabung permulaan RM 100 bagi setiap anak kelahiran Selangor. Faedah yang akan diterima adalah seperti berikut:

a. Di awal pelaburan, setiap Ahli TAWAS akan menerima RM 100.
b. Pada usia 18 tahun, anak-anak ini berpeluang untuk menerima sebanyak RM 1,500 hasil pelaburan di dalam skim ini.


Klik untuk maklumat lanjut

3• Skim Mesra Usia Emas (SMUE), merupakan satu skim khairat kematian yang diwujudkan khusus untuk menjaga kebajikan rakyat Selangor.Bertujuan membantu keluarga warga emas / OKU yang memenuhi syarat dan berdaftar yang meninggal dunia tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi, dan kedudukan sosial mereka.Borang dan pendaftaran adalahPERCUMA.

Sila klik untuk maklumat lanjut

4• One Stop Crisis Centre’ (OSCC) atau lebih dikenali sebagai Pusat Khidmat Krisis Sehenti telah ditubuhkan pada tahun 1997 di hospital-hospital kerajaan di seluruh Malaysia. Tujuan OSCC ditubuhkan adalah untuk memberi perkhidmatan menyeluruh kepada mangsa-mangsa penderaan, perkosaan dan juga keganasan rumahtangga. Pusat ini ditubuhkan khas untuk merawat dan mengasingkan mangsa-mangsa serta diberi bantuan dari segi sokongan emosi dan kaunseling agar mereka tidak mengalami tekanan perasaan atau emosi. Operasi OSCC terletak di bawah Jabatan Kecemasan di setiap hospital di mana terdapat kakitangan yang terlatih ditugaskan untuk merawat serta memberi penjagaan yang sewajarnya kepada mangsa-mangsa yang datang untuk mendapatkan rawatan.

Walaubagaimanapun, masih terdapat ramai orang awam yang tidak mengetahui kewujudan pusat ini dalam meberi perkhidmatan kepada orang ramai. Justeru, dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) fasa 1, terdapat program OSCC dimana kempen kesedaran akan dilaksanakan dalam bentuk jaringan dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Kempen ini untuk memberi kesedaran tentang keganasan rumahtangga, memberi maklumat berkaitan undang-undang keluarga dan menghebahkan maklumat mengenai OSCC ini kepada orang ramai. Program ini akan dijalankan mengikut peringkat DUN Negeri Selangor Darul Ehsan.
Memberikan kesedaran mengenai kewujudan dan peranan OSCC dalam menolong wanita yang menjadi mangsa keganasan.
  • Memupuk kesedaran wanita untuk memperkasa minda merdeka dan menggilap jatidiri wanita bermaruah.
  • Memberi maklumat dan kefahaman yang sahih mengenai isu isu keganasan rumahtangga dan gangguan seksual ditempat kerja.
  • Memberi pendedahan dan kefahaman undang-undang yang melindungi wanita.
Klik untuk maklumat lanjut

5• Hadian Anak Masuk Universiti – Dasar memberi hadiah RM1,000 akan diberikan kepada anak selangor yang melanjutkan pengajian tinggi awam/swasta yang diiktiraf kerajaan dengan mengikuti pengajian peringkat diploma atau ijazah sarjana muda dari keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah. Hadiah ini akan terus dikreaditkan kedalam akaun pelajar ataupun melalui cek.

Semua rekod pembayaran akan dimasukkan di dalam sistem pangkalan data yang akan dibangunkan oleh urus setia dan bayaran akan dibuat dalam tempoh dua (2) minggu (10 hari bekerja) selepas borang hadiah pengajian IPTA/IPTS yang lengkap diterima oleh pihak urus setia. Sehingga kini seramai 6,014 orang pelajar telah layak menerima hadiah ini sepanjang tahun 2009, kerajaan negeri terus prihatin dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM 8.2 juta bagi meneruskan program ini.


Klik untuk maklumat lanjut

6• Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang. Pembelaan kerajaan negeri Selangor adalah melibatkan seluruh rakyat negeri Selangor termasuklah anak-anak pekerja ladang. Tabung ini diwujudkan adalah bagi memberi bantuan pendidikan kepada anak-anak pekerja ladang. Bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk biasiswa kepada anak-anak pekerja ladang bagi tujuan membiayai pendidikan mereka. Selain itu, tabung ini juga akan membiayai pembinaan dan penyelanggaraan asrama bagi anak-anak pekerja ladang di seluruh negeri Selangor. Kerajaan yang amat prihatin dengan pendidikan anak-anak pekerja ladang telah memperuntukan RM2 juta dalam merealisasikan program ini.

Klik untuk maklumat lanjut

7• Program Peningkatan Hasil Bahan Mineral & Galian - mengagihkan 10 peratus hasil keuntungan perlombongan pasir daripada Kumpulan Semesta Sdn.Bhd (KSSB) kepda seluruh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh Selangor

Klik untuk maklumat lanjut

Link berkaitan
Merakyatkan Ekonomi Selangor(MES)

[ NIK AZIZ – Mengenai Jahiliyyah ]

Kelmarin setibanya saya di rumah selepas berada di Tenang, Johor selama tiga hari, saya dikejutkan dengan satu rombongan bas kaum India dari Hulu Selangor yang siap menunggu ketibaan saya. Mereka meminta saya untuk berucap sepatah dua kata dan saya menjemput mereka naik ke masjid jika ingin mendengar ucapan saya. Alhamdulillah, tanpa fobia dan takut, mereka naik ke masjid. Tidak tahulah pula saya jika langkah saya itu boleh menjadi isu kepada pihak-pihak tertentu. Namun bagi saya, Islam perlu diperlihatkan dengan wajahnya yang sebenar bukan hanya melalui lidah orang-orang Islam sendiri yang jahil tentang Islam. Hasilnya, biarpun 50 tahun negara merdeka, orang bukan Islam masih belum memahami Islam sehinggalah perkara yang paling asas seperti soal larangan bersalaman antara bukan mahram pun masih dipertikaikan!

Islam adalah rahmat. Sekular pula warisan jahiliyyah. Ada yang nampaknya memarahi saya apabila saya membangkitkan soal jahiliyyah. Bahkan ada yang menafsirkan jahiliyyah hanyalah orang-orang Arab yang kafir di zaman Nabi Muhammad SAW. Sukalah saya ingatkan terhadap satu buku yang dikarang oleh Dr Muhammad Qutb yang bertajuk Jahiliyyah fil Qarnil Isyrin (Jahiliyyah di Kurun ke-20). Ini bukti saya bukannya orang pertama yang menyatakan jahiliyyah wujud di zaman ini.

Sukalah saya ulangi, setiap perkara yang bertentangan dengan Islam ialah jahiliyyah. Datangkanlah apa jua jenis nama ideologi sekalipun, jika tidak selari dengan Islam, pastinya ia jahiliyyah walaupun tidak memakai nama jahiliyyah. Ia seperti menggelarkan zina dengan seks bebas, sekalipun nama berbeza dan dilembutkan nadanya, ia tetap zina. Dadah disebut morfin, heroin dan sebagainya, ia tetap dadah. Arak pula digelar minuman keras dengan pelbagai jenama, hakikatnya ia tetap arak yang diharamkan. Demikianlah sekularisme, nasionalisme, komunisme, sosialisme dan ism-ism yang diasaskan oleh manusia moden tetap merupakan benih jahiliyyah. Setiap masa dan saat, kita diberikan dua pilihan, Islam atau jahiliyyah. Pilih Islam ertinya selamat, menentang Islam bererti memilih jahiliyyah.

Ada yang berkata jahiliyyah hanyalah bermakna bodoh. Ini satu tanggapan yang salah. Tidakkah orang-orang Arab di zaman nabi merupakan orang-orang yang cerdik. Mereka pakar di dalam perniagaan, pakar peperangan dan pakar bahasa. Gelaran jahiliyyah bukanlah kerana mereka bodoh tetapi kerana mereka menolak Islam. Justeru Allah SWT berfirman :

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ

Yang bermaksud : “Apakah hukum jahiliyyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin.” Surah Al-Maidah ayat 50.

Saya ingin bertanya kepada pemimpin-pemimpin UMNO yang begitu kuat menghentam saya, benarkah perjuangan UMNO berlandaskan Islam? Jika benar, rujuklah kembali kepada al-Quran dan al-Hadis sebagai dasar. Hairan saya, Timbalan Perdana Menteri sendiri boleh menakut-nakutkan kaum Cina di Tenang, Johor dengan negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Dalam masa yang sama, PAS dituduh sebagai kuda tunggangan DAP. Jika TPM sendiri menyebut PAS tidak pernah menggugurkan agenda negara Islam, UMNO pula bagaimana? Difahami daripada kenyataan tersebut, UMNO tidak akan membawa Islam sebagai agenda perjuangannya. Hairan, jika disebut jahiliyyah mereka melenting, tetapi mereka sendiri menolak Islam. Situasi ini mengingatkan saya kepada bait-bait syair Iqbal, seorang penyair Paskitan ketika mengumpamakan senario umat Islam pada hari ini : Ke bumi tidak jatuh, ke langit tidak naik, sembah berhala pun tidak, sembah tuhan pun enggan.

Islam mengajar selepas mati ini akan nada hidup di akhirat. Sayang sekali, hidup akhirat ini tidak pernah meniti di bibir pimpinan UMNO. Sedangkan kepercayaan kepada hari akhirat merupakan tonggak kepada rukun iman dan Nabi Muhammad SAW seringkali mengingatkan dalam banyak hadisnya : “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat……” Islam mengajar dunia ini milik Allah SWT, dipinjamkan kepada manusia sebagai khalifah. Sekular mengajar bahawa manusia berhak melakukan apa saja yang dikehendakinya apabila berkuasa. Islam mengajar bahawa setiap perbuatan manusia akan diadili di akhirat, jika baik natijahnya syurga dan jika tidak, natijahnya ialah neraka. Pernahkah syurga dan neraka disebut di daam ajaran sekular yang didokong oleh UMNO?

Ajaran sekular hanya memikirkan soal bagaimana untuk berkuasa. Etika dan undang-undang boleh diketepikan apabila tidak berpihak untuk mereka. Lihatlah di Tenang, dijanjikan peruntukan RM30 juta tanpa sedikitpun dijeling oleh SPRM. Barangkali bagi mereka, pengundi di Tenang boleh dibeli seperti membeli binatang ternakan. Rasulullah SAW hadir dengan membawa makanan roh bukannya makanan fizikal semata-mata seperti yang diamalkan oleh UMNO. Rasulullah SAW hadir bukan dengan menjanjikan projek seperti yang diibawa oleh UMNO kerana manusia memerlukan bukan hanya makanan fizikal tetapi juga makanan roh. UMNO masih beum cukup serik mempermainkan rakyat kerana hanya itu yang termampu dilakukan oleh mereka.

Seruan saya, baliklah kepada Islam. Islam yang adil, Islam yang membawa rahmat dan Islam yang menjanjikan kemenangan. Saya ulangi kembali pesanan saya kepada jentera pilihanraya PAS di Dun Tenang, kita bukannya memburu kemenangan di dalam pilihanraya di dunia semata-mata, tetapi kita memburu kemenangan di akhirat. Hari ini, PAS tewas di Tenang, namun PAS berpuas hati kerana telah melaksanakan tugas amar makruf nahi munkar. Adapun UMNO, bolehkah perjuangan mereka dibawa ke akhirat? Fikirkanlah.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,

Kg Pulau Melaka.

Bertarikh : 25 Safar 1432H / 30 Januari 2011M